Thursday 30 June 2011

insan

insan,
seketika aku terleka dari menjaga pandangan,
kau ku temui sebagai kenalan,
saat syaitan mula membisikkan,
kenalan berubah menjadi teman,
ku sangkakan kau lah bakal pasangan,
setiap hari berhubungan,
demi mengekalkan pertalian..

sesaat, kau diberikan kesedaran,
antara kita jangan ada harapan,
sebagai kawan,
jangan berlebih dalam perhubungan,
mungkin kau inginkan perubahan,
hubungan tercipta atas landasan keagamaan,
bukan kerana nafsu keduniaan...

hidup mula bertemankan kesedihan,
kerinduan dari kejauhan,
seorang sahabat hadir memberi peringatan,
andai kita dalam kesesatan,
dan Allah berikan kesedaran,
segeralah berlari mengejar kebenaran,
itulah tanda ujian dari Tuhan,
atas tahap keimanan insan.

Wednesday 29 June 2011

hak seorang muslim

dalam kehidupan seharian, mungkin saja kita kadang terlalai dan terleka dari menunaikan hak kepada orang sekeliling kita.kadang kala, kesibukan menguruskan hal-hal peribadi membuatkan kita lupa akan tanggungjawab kita terhadap muslim yang lain.
"daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: "hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam : (sahabat bertanya) "apakah dia wahai Rasulullah?" jawab baginda : "apabila engkau berjumpa dengannya, berilah salam, apabila dia menjemput ke rumahnya hendaklah engkau terima, apabila dia meminta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila dia bersin lalu memuji Allah dengan "Alhamdulillah" maka doakanlah dia dengan "yarhamukallah", apabila dia sakit, ziarahilah, seterusnya apabila dia mati iringilah jenazahnya ke kubur." (riwayat Muslim)
hak terhadap muslim yang lain adalah kewajipan yang mesti dipelihara dan diamalkan oleh setiap muslim bagi menjaga keperibadiannya dan bagi melahirkan masyarakat Islam yang bersaudara.
firman Allah yang bermaksud:
"sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara"           (surah Al-Hujurat :10)
 seperti mana yang kita semua maklum, memberi salam adalah satu cara penghormatan yang diamalkan antara sesama Islam apabila bertemu. hukum memberi salam adalah sunat muakkad, sementara menjawabnya adalah wajib. firman Allah yang bermaksud: 
"apabila kamu diberi hormat (salam) maka balaslah hormat itu dengan cara yang lebih baik lagi atau menjawab sepertinya"       (surah An-Nisa':86)

apabila seseorang mukmin meminta nasihat atau pertolongan, maka perlulah diberikan bantuan mengikut kemampuan kita.dalam hal ini, perlu ingat bahawa kita tidak boleh mencampuri hal orang lain tanpa diminta. masing-masing hendaklah menjaga perhubungan dan persahabatan. firman Allah yang bermaksud:
"berilah nasihat dengan kebenaran dan kesabaran" (surah Al-Asr: 3)

apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka hendaklah kita iringi jenazahnya hingga ke kubur. sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 
"hendaklah kamu menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah, itu akan mengingatkan kamu tentang akhirat" (riwayat ahmad)

setiap mukmin harus meneliti adab-adab yang dianjurkan oleh Islam kerana terdapat banyak hikmah hasil daripada mengamalkannya. Islam adalah agama yang syumul kerana memperincikan setiap perkara walaupun ia dianggap remeh oleh segelintir masyarakat.Wallahualam...

abah, bapa dan abi

abah,
sering saja kita berbalah,
walaupun sebab tak munasabah,
abah tetap tak nak kalah,
saya tetap tak mengaku salah,
walau selalu buat abah marah,
abah tetap hantar ke sekolah,
abah jemput balik rumah,
hari anugerah,
abah jarang datang sekolah,
abah sibuk nak bagi hidup mewah...

bapa,
anakmu dah remaja,
masuk sekolah agama,
nak berdikari, tinggal kat asrama,
5 tahun duduk sana,
masa tu kita jarang jumpa,
nak berbalah pun dah takde masa,

abi,
anakmu sambung belajar lagi,
jauh, kena guna feri,
kita jumpa sebulan sekali,
itupun kalau ada cuti,
kalau tak, datanglah sini...

abah, bapa atau abi,
sekarang dah masuk ipt,
tempat ni jauh sekali,
kena guna flight dua kali,
baru sampai sini,
nak jumpa 4 bulan sekali,
semalam kita gaduh lagi,
saya nak, tapi abi tak bagi,
sedih berhari-hari,
abi sampai hati,
saya remaja lagi,mudah terasa hati,
walau apa pun, abi tetap yang terbaik di hati ini,
terima kasih abi

Tuesday 28 June 2011

persaudaraan dalam Islam

dalam kehidupan bermasyarakat,manusia tidak harus mementingkan dirinya sahaja tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. kerana perbuatan yang sedemikian akan menimbulkan kepincangan dan pertelingkahan dalam masyarakat.

daripada Anas r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda "tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia kasih (pentingkan)kepada saudaranya sebagaimana ia kasihkan dirinya sendiri."(muttafaqun 'alaih)
iman adalah satu perkara yang amat penting kepada seorang muslim. di antara perkara yang boleh menambahkan kesempurnaan iman seseorang itu adalah mengharapkan kebaikan kepada orang lain sebagaimana ia mengharapkan kebaikan pada dirinya sendiri.

Allah telah menjalinkan hubungan antara orang-orang mukmin semuanya dengan ikatan persaudaraan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
"sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya beroleh rahmat." (surah Al-Hujurat:10)

persaudaraan adalah meliputi semua golongan manusia tanpa mengira keturunan dan warna kulit, sama-sama saling mengerti dan tolong menolong antara satu sama lain. apabila berlaku pertelingkahan maka carilah jalan perdamaiannya.
sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "seseorang mukmin bagi seseorang mukmin yang lain itu diibaratkan seperti satu binaan yang mana saling kuat-menguat antara satu sama lain." (riwayat Bukhari dan Muslim)

oleh itu,setiap umat Islam perlu mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain.segala kebaikan yang di harapkan untuk diri sendiri, begitulah juga harapan untuk orang lain. dan sebaliknya kejahatan dan keburukan yang kita elak jangan dicampakkan kepada orang lain.
Rasulullah s.a.w menegaskan lagi dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh An-Nu'man bin Yasir r.a : "perumpamaan kasih sayang antara sesama orang mukmin itu seperti satu jasad, apabila salah satu anggota itu sakit, seluruh jasad akan berjaga malam dan bersama-sama merasai kesakitan."
oleh yang demikian, jelaslah bagi kita bagaimana hubungan yang sepatutnya terjalin antara kita dengan insan-insan lain.
hadis Rasulullah s.a.w: "daripada Jabir bin Mat'am, Rasulullah s.a.w bersabda: "tidak masuk syurga orang yang memutuskan persaudaraan"
Islam melarang permusuhan sesama manusia. pertelingkahan yang sering berlaku dalam hubungan persahabatan mahupun hubungan-hubungan lain perlulah dielakkan. bertolak ansur sesama manusia lebih mendatangkan kebaikan daripada meneruskan keegoan masing-masing dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. wallahualam..

Sunday 26 June 2011

perempuan

perempuan,
melenturnya perlukan kelembutan,
membentuknya perlu kebijaksanaan,
keyakinan dan pernghargaan,
tanpa jemu dan bosan,
memimpin tangan, menunjuk jalan,
kerana kerenahnya menguji kesabaran,

perempuan,
dirinya terancam kerana fitnah,
sucinya perlu tabah,
cintanya tak boleh berubah,
tidak terpadam dengan helah,
jiwanya penuh resah,
kerana ayat dusta yang melapah,

perempuan,
perlu teguh kakinya,
mantap iman mengunci jiwa,
dalam pertarungan yang lama,
dalam perjalanan mengenali Tuhannya,
dalam perjuangan mencapai cinta,
nikmat hakiki seorang hamba,
dari Allah yang Maha Pencipta,
dari Allah yang mengurnia,
dialah hadiah istimewa dunia

perempuan,
moga pulang dalam kecintaan,
redha dalam keredhaan,
dan penuh kebahagiaan,
moga Ar-Rahman melindungi,
merahmati dan merestui,
menuju cintaNya yang hakiki,
yang kekal abadi

syukur padaNya

 kita sering kecewa tatkala musibah melanda.kemiskinan, gempa bumi, tsunami, dan bencana-bencana alam yang lain adalah antara ujian Allah pada hambaNya. penyesalan sering melewati jiwa bilamana kita sendiri tidak mampu menyelamatkan mereka yang kita sayangi dari ditimpa masalah. Namun hakikatnya, siapalah kita yang hanya hidup menumpang pada nikmat kurniaanNya. tika kita merasa lapang dan bebas dari bencana, kita sering lupa padaNya.
daripada ibn Abbas R.A berkata:, telah bersabda Rasulullah S.A.W, " terdapat dua nikmat yang kebanyakannya manusia sering lupa iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang" (riwayat bukhari)
inilah realiti hidup dunia sekarang, ketika tubuh badan fizikal dan mental sihat,pelbagai perkara dilakukan hingga lupa mensyukuri nikmat yg diberikanNya.  hinggakan melakukan dosa pun sebenarnya kita masih menggunakan nikmat kesihatan yang dipinjam.
firman Allah S.W.T
 "mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu) kemudian mereka tergamak mengingkarinya dan kebanyakan mereka pula ialah orang yang kufur ingkar."(surah An-Nahl:83)
kita sering leka dengan nikmat dunia kerana ia menjanjikan seribu satu macam kemewahan yang tiada penghujungnya.

firman Allah:
"maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan janganlah pula kamu diperdayakan oleh ajakan dan bisikan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.(surah Luqman:33)
semoga kita semua sentiasa berwaspada dengan tindak tanduk kita agar tidak terpedaya dengan nafsu dunia semata-mata.wallahualam..

Saturday 25 June 2011

gadis itu

seorang gadis itu,
lembut fitrah tercipta,
manis tutur kata,
telus wajahnya
setelus rasa membisik jiwa,
di matanya cahaya,
bertakung air sehangat cinta,
sejernih suka, sedalam duka,
ceritera hidupnya...
hatinya penuh manja,
penuh kasih sayang semuanya,
cinta untuk diberi, kasih untuk dirasa...
namun manjanya bukan untuk semua,
kadang lemah dengan ujian dunia,
bisa kuat tabah meyokong pahlawan Agama...
begitu unik tercipta,
lembutnya bukan lemah tapi kuasa,
menggoncang dunia tak kira masa...

seorang gadis itu,
teman yang setia,
buat Adam dialah Hawa,
tetap teguh menongkah arus dunia,
hingga mngecap nikmatNya...
seteguh khadijah jadi impiannya,
tabah dan tenang sikapnya,
bijaksana ia
menyimpan ilmu si teman bicara,
dialah Aisyah penyeri taman Rasulullah,
dialah Hafsah penyimpan mashaf pertama kalamullah...

seorang gadis itu,
perlu ada yang membela,
agar ia terdidik jiwa agar ia terpelihara,
dengan cinta Rabbnya dengan rindu Rasulnya,
dengan yakin Deennya, dengan teguh aqidahnya,
dengan utuh cinta yang terutama,
Allah dan juga RasulNya
dalam ketaatan penuh setia,
pemelihara maruah dirinya,
agama, keluarga dan ummahnya....

Friday 24 June 2011

pengaruh

semua kita mempunyai pengaruh.tidak kira sama ada orang yang berjawatan tinggi mahupun orang biasa, semuanya mempunyai pengaruh yang tersendiri.cuma yang membezakan pengaruh seseorang itu adalah bagaimana cara mengendalikan potensi pengaruh yang ada dalam diri masing-masing.

potensi pengaruh ini seperti parang, jika tidak di asah, kelebihan akan hilang dan tidak akan di pandang.oleh itu, memang kita sebagai manusia tercipta dengan potensi pengaruh.bayi yang masih kecil juga mempunyai pengaruh tanpa kita sedari.

tatkala bayi menangis, orang sekeliling menjadi risau akan bayi tersebut.tika bayi tersenym atau ketawa pula,mampu menarik perhatian orang sekeliling untuk melihat gelagat bayi tersebut atau memerhatikan apakah yang membuatkan bayi tersebut gembira.manakala jika bayi hanya berdiam diri, orang sekeliling pula cuba mencari jalan untuk membuat bayi tersebut ketawa..Subhanallah..bayi yang masih tidak tahu perihal kehidupan itu mempunyai potensi mampu menarik perhatian orang sekeliling..

namun, menjadi persoalan mengapa manusia yang telah dewasa ada yang kelihatan tidak berpengaruh atau lebih tepat lagi, kewujudannya tidak dihiraukan, kehilangannya tidak dicari.itulah yang dikatakan potensi yang lahir ketika bayi mulai padam. apabila potensi tidak diasah dan dibiarkan sahaja, potensi itu bakal ditenggelamkan oleh potensi-potensi lain yang ada di sekitar kita.

dalam pada itu, mungkin sesetengah kita berpendapat tak perlu pengaruh yang kuat kerana ianya membuat kita menjadi orang yang sombong dan bongkak.sebenarnya, pengaruh dalam diri sendiri adalah yang paling pentin..apabila pengaruh dalam diri sudah tinggi, pengaruh-pengaruh luar yang datang mampu ditapis baik buruknya.tetapi apabila pengaruh dalam diri sendiri kurang, anasir-anasir luar kadang-kadang mampu mengubah identiti seseorang itu.

persepsi insan sekeliling kita kadang-kadang mampu mengubah cara pemikiran kita.sama ada ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara,sahabat handai mahupun pasangan hidup, kata-kata yang keluar dari mulut-mulut mereka sedikit sebanyak mempengaruhi keyakinan pada diri kita.namun pengaruh mereka ini berbeza setiap individu.

tidak mustahil kata-kata kita hari ini atau semalam membuatkan seorang insan itu berubah menjadi lebih baik atau sebaliknya. walaupun begitu, semuanya adalah terletak pada diri setiap individu, bagaimana mereka mengendalikan potensi pengaruh dalam diri mereka. 

semoga kita semua meninggalkan atsar yang baik untuk diikuti oleh generasi seterusnya.wallahualam

Thursday 23 June 2011

lenggok lalang

"aku bosan jadi baik"rintih hati kecil yang berbaur godaan syaitan tatkala melihat teman-teman lain membuat durjana di bumi ini..
sering saja perasaan itu hadir tika iman berkurangan lantaran amal yang tak ketentuan.sungguh mudah iman itu goyah kerana tercemar dengan perkara-perkara lagha di sekeliling kehidupan.

menurut dengan membuta tuli adalah amat ditentang oleh Islam terutamanya dalam perkara menyentuh akidah, ibadat dan adat. perkara-perkara asas ini mempunyai dasar, asas dan rujukan yang benar.

"daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "janganlah kamu menurut tanpa meneliti, kamu berkata, jika orang berbuat baik kami pun akan berbuat baik dan jika mereka berbuat zalim, kami juga berbuat zalim. tetapi hendaklah kamu tetapkan hati dan biasakan diri kamu jika orang berbuat baik kamu pun berbuat baik, jika mereka berbuat jahat janganlah kamu berbuat zalim." (riwayat Tirmizi)
 Islam tidak menyukai anggota masyarakat yang bersifat seperti lalang iaitu seperti pak turut kerana ini merupakan kelemahan dan kehilangan peribadi yang tidak dapat membezakan antara perkara yang baik dan perkara buruk.
 fiman Allah s.w.t yang bermaksud: "dan apabila dikatakan kepada mereka :"marilah mengikut apa yang diturunkan Allah dan mengikuti RasulNya." mereka menjawab: "cukuplah untuk kami apa yang kami dapati daripada bapa-bapa kami mengerjakannya," dan apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak tahu apa-apa dan tidak pula mendapat petunjuk" (surah Al-Maidah:104)
kita disuruh berbuat baik sebagaimana juga kita disuruh mengikut mereka yang berbuat baik. ketua-ketua, pemimpin-pemimpin yang jujur hendaklah dipatuhi tetapi jika mereka berbuat jahat dan berbuat zalim maka hendaklah ditentang. tentukanlah sikap, pegangan dan keyakinan sendiri sebagai orang yang mempunyai kemerdekaan berfikir dan tidak terikut-ikut.

seperti juga lalang, apabila ditiup angin, lenggoknya pasti mengikut arah angin.sifat lalang itulah yang perlu dihindar dalam setiap diri masing-masing agar mempunyai ketegasan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran hidup.

jatuh lagi

air itu jatuh lagi,
menghujani subuh hari,
saat terbaca satu puisi,
tentang dirimu yang kuingati,
kusangka air itu takkan jatuh lagi,
kerana aku mencari kekuatan diri,
namun semuanya berulang lagi,
aku menangis meratapi,
kenangan terindah di bumi sepi,
aku, kamu dan dia berjanji,
akan sentiasa bersama menongkah realiti,
tapi inilah yang terjadi,
adakah lagi peluang mencipta memori,
memori indah di taman hakiki,
kau yang kukenali,
tingkahmu buat tak kering gusi,
lagakmu tak tumpah penghibur hati,
kini kau demam berhari-hari,
akibat tekanan menimpa diri,
ku harap kau tabah menghadapi,
walaupun hakikatnya ujian ini berat sekali,
inilah tanda ingatan dari Ilahi,
kau tetap teman sejati,
selamanya kau tetap dihati

Wednesday 22 June 2011

percakapan tanpa amalan

nilai seseorang terletak pada tindakan serta pelaksanaan dan bukan hanya pada percakapannya sahaja.segala seruan kebaikan yang tidak disertai usaha adalah sia-sia kerana segala perbuatannya itu akan menambahkan lagi seksaan ke atas dirinya.


"daripada Abi Zaid Usamah bin Zaid bin Harith r.a katanya: "aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda seorang lelaki diheret pada hari Kiamat lalu dicampakkan ke dalam neraka, tali perutnya terkeluar dan ia berpusing-pusing seperti keldai mengelilingi pengisar gandum. penghuni neraka berhimpun lalu bertanya, "wahai pulan! mengapa kamu ni? bukankah kamu pernah menyuruh orang berbuat kebajikan dan mencegah kemungkaran? jawabnya: "benar! aku menyuruh membuat kebajikan sedang aku tidak membuatnya dan aku menyuruh mencegah kemungkarana sedangkan aku melakukannya" (riwayat Muslim)

seseorang yang hanya menyeru, memerintah dan menganjurkan kebajikan sedang ia sendiri tidak mengamalkan apa yang dikatakannya adalah manusia yang sangat dimurkai Allah.

firman Allah: "wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya? amat besarlah kebencian di sisi Allah, memperkatakan sesuatu yangkamu tidak perbuat." (surah As-Saff:2-3)
memperbaiki keadaan diri sendiri adalah lebih utama daripada memperkatakan kelemahan orang lain. jika diri sendiri belum dapat melaksanakan perintah agama maka janganlah cuba mencaci orang lain.

kita semua hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar dapat membaiki kelemahan yang ada. dikhuatiri orang yang sentiasa menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran lebih awal menerima balasan Allah dari orang lain.

Tuesday 21 June 2011

orang bijak?

kebijaksanaan merupakan sifat penting bagi seorang mukmin kerana yang dikatakan orang mukmin ialah orang yang dapat menimbang dengan adil dan wajar bagi kepentingan dirinya di dunia dan di akhirat. oleh itu, orang yang berakal itu adalah orang yang dapat menguasai dirinya daripada pengaruh nafsu syahwat. tidak ada kuasa yang boleh menundukkan nafsu seseorang itu selain iman.

daripada Syaddad bin Aus, Rasulullah s.a.w bersabda: "orang yang bijak ialah orang yang boleh menguasai dirinya serta beramal untuk kehidupan sesudah mati. orang yang lemah ialah orang yang mengikut kehendak nafsunya dan banyak berangan-angan kepada Allah". (riwayat Tirmizi)
beramal untuk kehidupan setelah mati adalah dengan melaksanakan segala amalan yang mendapat keredhaan Allah yang mana pahala amalan itu akan terus mengalir kepadanya sesudah mati.
sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "apabila mati anak adam (manusia), terputuslah amalannya kecuali dari tiga sumber iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.
segala nikmat dunia amatlah kecil jika dibandingkan dengan nikmat akhirat.mereka yang berakal sahaja dapat memandang jauh ke hadapan dan tidak akan terpedaya dengan nikmat sementara di dunia.di akhirat kelak tidak ada sesiapa yang boleh memberi pertolongan.
firman Allah s.w.t: "pada hari akhirat itu, harta dan anak-anak tidak dapat memberi faedah kecuali mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang bersih". (surah As-Syu'ara:88-89)
 berangan-angan pada Allah adalah pandai berdoa dan memohon pada Allah tetapi masih melakukan larangan Allah, masih tidak mahu beramal dan bekerja untuk dunia dan akhirat.iman menjadi penguasa dan pendinding dari tercebur ke lembah kemungkaran dan maksiat.
sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "tidak sempurna iman seseorang sehinggalah nafsunya tunduk mengikut apa yang aku sampaikan kepadanya".
orang yang berdoa tanpa usaha adalah orang yang berangan-angan, manakala orang yang berusaha tanpa doa adalah sombong.

semoga kita semua menjadi orang yang benar-benar bijak

Saturday 18 June 2011

subuh

pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lalu, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetap ku. "Assalamualaikum". seru Subuh. "waalaikumsalam." sahutku.

dan kami terus berpelukan, tanda rindu kasih sayang.ku tanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain."tadi..", kata Subuh sayu, "..aku baru sahaja melintasi satu tempat.ku cari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi tiada satu pun yang mahu menerimaku sebagai tetamu". dan airmata Subuh pun berlinangan.

"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan?" subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringatkan sesuatu.

"oh ya.tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai.orang-orangnya sepertimu, menyambut dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. hidangan yang paling ku suka adalah buah tahajjud,puas ku cari dibumi lain, tapi jarang ku temui. Di situ aku meratah buah tahajjud dengan puas".

dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. aku fahami maksud Subuh.

"maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkan buah kegemaranmu. tapi aku ada roti Shiyam". cadangku pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. "roti itu ada tuannya".kata Subuh.

"Adakah kau mahu manisan zikir?"rayuku pada Subuh.

"baiklah, ambilkan aku sedikit serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan".pinta Subuh.

aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang air mata tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan?. namun aku tetap menjenguk perigi yang memuatkan airmata itu. aku terkejut. perigi tersbut hampir penuh. dan aku berdetik di dalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? tanpa berlengah lagi, ku bawa air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi dan kusuakan manisan yang dipintanya.selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

"Subuh.."seruku. "....mahukah kau tinggal selamanya denganku? aku memerlukan teman dalam kesusahan. akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi."aku perlu menziarahi ramai orang dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati mereka sepertimana aku menguliti mimpimu".

dan aku akur dengan penjelasan Subuh."Subuh.." seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi. "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?" "InsyaAllah". jawab Subuh., "...bukankah aku kekasih yang kau rindui?" Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.

"Assalamualaikum".seru Subuh. "Waalaikumsalam" jawabku kembali.

dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah. dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.

hanya padaMu

mendung berlalu pergi,
suria sinari alam ini
meniti hari-hari
ku lemas dalam keresahan hati
titisan embun pagi
hilang ditelan hari
bunga yang berduri
takut untuk didekati
Ya Rabbi
tunjukkan aku jalan hakiki
duri onak akan kuharungi
dengan ketulusan hati
berikan ku kekuatan hati
untuk menempuh ranjau duniawi
agar dapatku menghayati
dan terus sujud pada Ilahi
restuilah langkah ini
padaMu kuserahkan diri
jiwa raga ke sisi
hanya padaMu ya Rabbi

Friday 17 June 2011

keluhan demi keluhan

masalah, adalah satu ujian daripadaNya untuk menguji keimanan kita padaNya.namun tika dirundung masalah, adakalanya kita lupa akan hikmah hadirnya masalah itu sehingga ada yang hilang akal mengambil jalan singkat demi mengelak kepedihan yang dirasakan.pelbagai persoalan akan timbul tika berdepan dengan masalah.tapi kita lupa bahawa , Allah telah menjawab persoalan2 tersebut dalam Al-Quran.
  • kenapa aku di uji?
firman Allah: "apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "kami  telah beriman, " sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Al-Ankabut:2-3)
  • kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?
firman Allah : "boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah:216)
  • kenapa ujian yang menimpa seberat ini?
firman Allah: "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya" (Al-Baqarah: 286)
  • arghh.aku frust!!!!
firman Allah: "jangalah kamu bersikap lemah dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman" (Al-Imran:139)
  • bagaimana harus aku menghadapinya?
 firman Allah : "wahai orang-orang yang beriman! bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)" (Al-Imran:200)
firman Allah: " dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang: dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah:45)
  • apa yang aku dapat daripada semua ini?
 firman Allah: "sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..." (At-Taubah:111)
  • kepada siapa lagi aku boleh berharap?
firman Allah: "cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. hanya kepadaNya aku bertawakal" (At-Taubah:129)
  • aku dah tak tahan!!!
firman Allah:"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."(Yusuf:87)
semoga kita semua diberikan kekuatan agar sentiasa tabah menghadapi ujian dari Nya.

misteri perasaan

ada apa dengan Adam? Adam mewakili kaum lelaki, juga merupakan nama salah seorang nabi, manusia pertama ciptaan Allah. Sebutan namaya mampu menggetarkan jiwa seorang Hawa yang diciptakan untuknya. wujudnya Hawa untuk Adam. Dalam kewujudan itu, terciptalah satu perasaan cinta yang tiada tandingan, sanggup meninggalkan nikmat hidup di syurga lantaran desakan perasaan cinta. Di campak ke bumi dan bertemu semula selepas bertahun lamanya terpisah. Memang mereka ditakdirkan bersama kerana cinta.

tetapi, apa itu cinta.tiada sesiapa pun yang mampu melarikan daripadanya. you can run but you cant hide! cinta bukanlah sesuatu yang boleh dielak. it's human nature to fall in love.sometimes it comes when you least expected it. manusia sekejam Adolf Hitler juga pernah jatuh cinta.

fantastik.tidak ada sesiapa yang mampu menghuraikannya. Albert Einstein, Benjamin Franklin dan Thomas Edison juga tidak mampu menghuraikannya dengan teori-teori sains mereka. ianya bukan satu perkataan yang perlu dihuraikan tapi ianya adalah satu metafora keindahan yang wujud dalam jiwa dalam keadaan sedar dan tidak sedar. ia bukan mimpi tapi realiti yang terkadang dirasakan seperti fantasi.segala-galanya indah tatkala dilamun perasaan itu.

2 pemerintah empayar Rom jatuh cinta pada seorang wanita yang sama. Cleopatra, nama wanita yang gah pada eranya.kerana cinta beliau sanggup mengorbankan nyawanya. ternyata, cinta itu memang buta. kecewa bercinta bukan alasan untuk tidak mencari pengganti mengisi kekosongan hati.jatuh cinta juga bukan satu pilihan yang boleh dibuat-buat.

Jika bercakap tentang cinta, tentu ianya berkaitan tentang dua makhluk yang bergelar adam dan hawa berkasihan. namun hari ini, ianya agak berlainan. Adam untuk Adam.dan Hawa untuk Hawa.mengapa semua ini harus terjadi.adakah perasaan benci antara keduanya yang menjadi catalyst.adam mula membenci hawa.hawa mula menghindarkan diri dari adam.namun perasaan cinta itu perlu diisi.sehingga berlakunya cinta luar tabii.astaghfirullahalazim.

kalau dulu, lelaki yang akan mulakan langkah untuk mendekati wanita.namun hari ini, wanita lebih radikal daripada lelaki. isu "perigi mencari timba" sering kedengaran.namun bukan itu yang menjadi persoalannya.yang penting peluang terbuka harus segera direbut.di dunia ini, segala tindakan harus dilakukan dengan cepat.jangan biarkan peluang keemasan, kelak menggigit jari.kata Forest Gump, "life is like a box of chocolate, you'll never know what you gonna get.."

wanita menjadi lebih berani kerana lelaki.wanita juga menjadi lebih adventurous kerana lelaki. wanita menjadi seorang wanita juga kerana lelaki. wanita adalah ibu, kakak, adik, makcik dan nenek kepada lelaki.sahabat lelaki adalah wanita. di sebalik kejayaan seorang lelaki berdirinya seorang wanita. kedua-duanya saling memerlukan.aturlah perasaan itu sebaiknya, jangan kita menjadi hamba cinta manusia, biar perasaan itu yang menjadi hamba kita.

JANGAN DIUBAH HUKUM ALAM, JANGAN DICABAR KETENTUAN TUHAN. JANGAN PULA DIKURANGKAN JUMLAH LELAKI YANG SEMAKIN BERKURANGAN DAN MENAMBAHKAN JUMLAH PEREMPUAN DENGAN MENCALIT LIPSTICK DI BIBIR, MEMAKAI KASUT TINGGI DAN MENOKOK TAMBAH MANA YANG PATUT DI SANA SINI.

Wednesday 15 June 2011

buatmu teman

teman,
di daerah penuh kesepian
kita saling berkenalan
di bawah bumbung pusat pengajian
di situlah bermulanya pertemuan
bulan berganti bulan
semakin akrab tali persahabatan
hari-hari ku penuh kegembiraan
diselaputi dengan gurauan
gelak tawa dan usikan
sering kau lakukan
menghibur hati yang kadang kesedihan

namun
tiba saat perpisahan
kau terpaksa meninggalkanku keseorangan
di medan penuh ujian
dengan ucapan selamat tinggal teman
petang mula diiringi hujan
inilah takdir Tuhan
yang mampu membuat perubahan
pada segala perancangan
semoga engkau diberikan kekuatan
menghadapi liku kehidupan

kurus tapi gemuk


penampilan adalah satu elemen yang dijaga rapi terutamanya oleh kaum wanita. mempunyai tubuh badan yang kurus adalah impian bagi kebanyakan wanita.yang gemuk mula mencari-cari ubat kurus.yang kurus pula tetap mengamalkan diet yang terkadang tidak seimbang dengan keperluan harian.

namun dalam mengejar erti kekurusan dunia, adakah kita benar-benar kurus dalam erti kata yang sebenar.mungkin ada yang tertanya-tanya apakah kurus dalam erti kata sebenar.satu tabiat kebanyakan manusia adalah mengumpat.tidak kisah di mana, pasti ada keburukan teman yang akan dihebohkan.tahukah anda bahawa tindakan mengumpat saudara dan kenalan sendiri umpama memakan daging mereka.inilah punca kegemukan dalam erti kata sebenar.gemuk memakan daging saudara sendiri!

dalam surah Al-Hujurat ayat ke 12 yang ertinya: hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan jangan ada sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. sukakah kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang.(49:12)

dalam al-Quran surah al-Humazah(pengumpat) yang ertinya: kecelakaan besarlah bagi setiap pengumpat dan pencela yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, dia mengira bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya, sekali-kali tidak! sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam hutamah. dan tahukah kamu apakah hutamah itu? (iaitu) api yang disediakan Allah yang dinyalakan. yang membakar sampai ke hati.sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka.(sedang mereka itu) di ikat pada tiang-tiang yang panjang.(104:1-9)

berdasarkan kedua-dua potongan ayat Al-Quran di atas, sedarlah kita bahawa begitu banyak amaran Allah kepada kita agar tidak mengumpat.
namun ada 3 keadaan yang diharuskan mengumpat iaitu:
  • orang yang dizalimi
orang yang dizalimi harus menceritakan atau mengadu kepada hakim atau pihak berkuasa tentang kezaliman yang dilakukan terhadapnya dan pelaku tersebut.
firman Allah dalam surah An-Nisa ayat 148 yang ertinya: Allah tidak menyukai ucapan (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
  • meminta fatwa
orang yang telah dianiaya dan meminta fatwa dari seseorang untuk meminta nasihat, contohnya.
berdasarkan satu hadis yang bermaksud: drpd Aisyah R.A bahawa hindun bin u'tbah telah berkata: wahai Rasulullah! sesungguhnya Abu Sufian (suaminya) seorang lelaki yang kedekut, dia tidak memberi keperluan yang mencukupi kepadaku dan anak-anakku, melainkan aku mengambilnya tanpa dia mengetahui. maka jawab Rasulullah S.A.W. :Ya! ambillah apa yang mencukupi bagimu dan anak-anakmu dengna cara yang baik.(diriwayatkan oleh Bukhari)
  • memberi peringatan tentang orang-orang yang fasiq
 harus menyebut keburukan orang-orang yang berterusan dan terang-terangan melakukan maksiat sebagai peringatan kepada orang ramai.
  • menjauhkan manusia dari terkeliru
harus menerangkan kekurangan-kekurangan saksi, perawi-perawi hadis, pengarang, pemberita, pemimpin masyarakat sedangkan mereka tidak mempunyai keahlian dalam bidang tersebut.
  • memperkenalkan seseorang dengan gelarannya
harus memperkenalkan seseorang dengan gelaran yang masyur dikenali ramai apabila tidak mungkin diperkenalkannya.

semoga anda dan IJ diberikan kekuatan agar menjauhi larangan Allah ini..dan semoga kita semua benar-benar kurus dalam erti kata sebenar....wallahualam

keranamu teman wahai sahabat

sahabat,
sedetik kau terlalai di medan keramat,
cinta pada manusia yang terkadang sesat,
setiap langkah hanya dia yang kau ingat,
lupakah pada Allah yang memerhati setiap saat,
silapku membiarmu tak pernah dekat,
pada Pencipta yang seharusnya kita taat,
ayuh sahabat,
tika dahi penuh keringat,
mengenang dosa tak kenang nikmat,
segera insaf dan bertaubat,
sebelum terlambat dan kembali sesat

teman
aku bangga melihatmu derita dalam perjuangan
dari melihatmu gembira dalam kelalaian
aku bangga melihat tangismu dalam pengorbanan
dari melihat tawamu dalam pengkhianatan
aku bangga melihatmu mati dalam kebenaran
dari hidup di dalam kesesatan
kerana muliamu bukan kerana harta genggaman
tetapi kerana keIslaman

Tuesday 14 June 2011

asas kepimpinan Islam

matlamat hidup kita adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan mengajak musuh-musuh Allah gentar dan tunduk kepada agama Allah. kekuatan akidah dan kekuatan roh adalah keperluan untuk mencapai matlamat.keteguhan aqidah adalah asas kepimpinan dalam Islam kerana ia adalah syarat meraih kejayaan.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab yang ertinya: dan pada masa orang-orang yang beriman melihat Al-Ahzaab, berkatalah mereka:' Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan pada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat pada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (untuk berjuang membela Islam) ; maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (33: 22-23)
perlu disedari bahawa pemuda dan pemudi Islam adalah aset perjuangan ummat ini, demi mengembalikan semula kedaulatan Islam dan kesejagatan ummat.
Firman Allah dalam surah At-Taubah yang ertinya: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengah yang lain; mereka menyuruh membuat kebaikan dan melarang daripada membuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan mereka memberi zakat serta taat pada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (9:71)
kekuatan roh adalah sinonim pada kekuatan fizikal. dalam satu kata pepatah arab yang bermaksud: "tentera yang berdisiplin dalam menjalankan tugas dan sufi yang abid dalam melaksanakan ibadah"
firman Allah dalam surah Al-Muzzamil yang ertinya: wahai orang yang berselimut! bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak berehat), Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sikit dari separuh itu.ataupun lebihkan sedikit daripadanya: dan bacalah Al-Quran dengan tartil. sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan(Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah)  yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).(73:1-5)
kekuatan roh bererti kekuatan bertawakkal dan tunduk kepada Allah, iltizam dengan matlamat dalam apa jua keadaan.
firman Allah dalam surah At-Taubah yang ertinya: pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan pelbagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah(untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu jika kamu mengetahui.( 9:41)
kekuatan roh juga bererti optimis iaitu dengan Islam, tak sewajarnya kita lemah.
firman Allah dalam surah Ali Imran yang ertinya: Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. (3:139)
kekuatan akidah juga tidak perlu goyah kerana secebis ujian dunia kerana kebahagiaan di akhirat kelak menanti.
firman Allah dalam surah Fussilat yang ertinya : sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : " Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.(41:30)
semua kita adalah pemimpin.semoga perkongsian ini sedikit sebanyak membuka ruang minda kita untuk  mengukuhkan lagi kekuatan akidah dan kekuatan roh agar menjadi pemimpin Islam yang berjaya.