Tuesday 8 November 2011

di mana hidayah

assalamualaikum w.b.t

"terpandang dihujung jalan, seorang gadis bertudung litup menyarungi kepala, lengkap menutupi perhiasannya.berbaju kurung bercorak batik menutupi bentuk tubuhnya..." alangkah jernih pandangan mata pabila terpandang gadis sebegitu rupa.saat itu, aku terfikir, bagaimana gadis tersebut mendapat kekuatan untuk menetapkan akidah lantaran dikelilingi oleh pelbagai budaya yang saling tak tumpah jauh dari syariat agama.detik hati kecil ini, ingin sekali untuk menjadi seorang yang kuat berpegang pada agama, bukan kerana untuk menunjuk pada teman-teman, tetapi kerana inginkan setiap langkah ini jauh dari noda dan prasangka dan dekat padaNya.

bukan aku tidak pernah berniat cuba untuk berubah menjadi berpenampilan sedemikian dengan zikir yang sentiasa membasahi lidah, amalan-amalan wajib tertunai penuh, tetapi rasa malu untuk memulakan perubahan itu amat dirasai. malu andai teman-teman mula membisikkan perubahan yang berlaku pada diri ini.malu andai kegagahanku selama ini dipersoalkan.sesungguhnya aku malu pada dunia.


niatku untuk berubah menjadi seorang muslimah yang benar-benar mengikut syariat terhenti disitu lantaran perasaan malu yang menebal pada hati.namun, tika tiba satu saat, datang persoalan-persoalan yang mula membunuh perasaan malu tersebut:
  • andai aku malu pada dunia, tidakkah aku malu pada akhirat?
  • adakah Rasulullah akan memberikanku syafaat melihatkan cara pemakaianku, pergaulanku yang langsung jauh pada syariat agama?
  • adakah aku akan berjaya menjejakkan kaki di syurga andai tubuh ini sering dibelai dengan jelingan nafsu lelaki, rambut ini sering diusap angin tika melewati dunia?
saat itu, aku mula mencari kembali untuk apa aku dilahirkan.tidak ku pinta untuk hidup di dunia fana ini.tidak ku pinta untuk lalai pada sang Pencipta. aku mula melayari laman-laman web Islamik.aku mula membaca buku-buku ilmiah. aku juga mula bersahabat dengan teman-teman yang dekat dengan agama.pernah ku tanyakan pada mereka, di mana untuk mencari hidayah?

"hidayah itu Allah yang berikan pada mereka yang Allah kehendaki. walaubagaimanapun, tanggungjawab kita adalah berusaha untuk mendekatkan diri padaNya dan berdoa agar hati ini sentiasa diikat pada taliNya. segalanya mudah. saat hati terdetik untuk dekat padaNya, dekatkanlah diri padaNya dan jangan pernah untuk meragui kerana andai saat itu kita berpaling kita akan menjadi lebih sesat dan tidak diketahui adakah kita sempat untuk kembali ke jalanNya."
 begitulah kesimpulan yang aku dapat setelah bertanyakan pada teman-teman baruku. Alhamdulillah, hatiku mula tenang.bukan dunia dan manusia yang perlu kita takutkan tetapi Allah yang perlu kita takut.

..wallahualam.semoga hati-hati kita sentiasa berpegang kuat pada tali Allah..

indahnya akhlak Rasulullah

assalamualaikum w.b.t

seperti mana yang kita ketahui, Rasulullah contoh terbaik ikutan semua.akhlak baginda yang sentiasa disenangi para sahabat dan juga masyarakat serta musuh-musuh amat dikagumi. gelaran Al-Amin yang diberikan pada baginda menunjukkan betapa terpujinya sifat baginda.sehingga peristiwa meletakkan hajarul aswad ke tempat asalnya, baginda telah dipilih untuk melaksanakannya.selain itu, musuh-musuh Islam juga percaya kepada baginda untuk menjaga barang-barang mereka.betapa kagumnya kita pada kemuliaan baginda.

kita sebagai umat Islam perlulah mencontohi sifat baginda yang mulia ini. namun untuk menjadikan diri ini seorang yang amanah, jujur dan terpuji ini amat berat lantaran banyak halangan yang menimpa.
 
firman Allah s.w.t dalam surah Asy-Syams ayat 9-10 yang bermaksud:
"sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya."(91:9-10)
bagi kita yang masih tercari-cari cara untuk mempunyai sifat seperti baginda, ingatlah pada firman Allah di atas.bahawa saat jiwa itu suci, segala perbuatan dan tingkah laku kita juga akan menjadi sesuci jiwa itu tanpa sedikit pun cela.kerana itulah amat beruntung bagi mereka yang berjaya menyucikan jiwa mereka.

untuk menyucikan jiwa-jiwa ini, perlulah kita:
  • berguru dengan guru yang benar-benar boleh membantu kita dalam menyucikan jiwa ini. guru yang dimaksudkan adalah guru yang benar-benar mengamalkan setiap ajaran mereka.
  • berkawan dengan mereka yang boleh menegur kesalahan kita
  • mengambil positif pada kata-kata musuh kita kerana musuhlah insan yang sering mencari kesalahan dan kelemahan kita
  • mengambil iktibar pada kelemahan orang lain.tidak dinafikan kita sering terlihat pada kelemahan orang lain.namun kelemahan itu bukanlah untuk kita hebohkan pada yang lain.
wallahualam.semoga sedikit perkongsian mampu memdekatkan lagi hubungan kita denganNya