Wednesday 29 June 2011

hak seorang muslim

dalam kehidupan seharian, mungkin saja kita kadang terlalai dan terleka dari menunaikan hak kepada orang sekeliling kita.kadang kala, kesibukan menguruskan hal-hal peribadi membuatkan kita lupa akan tanggungjawab kita terhadap muslim yang lain.
"daripada Abu Hurairah r.a. sesungguhnya Nabi s.a.w telah bersabda: "hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam : (sahabat bertanya) "apakah dia wahai Rasulullah?" jawab baginda : "apabila engkau berjumpa dengannya, berilah salam, apabila dia menjemput ke rumahnya hendaklah engkau terima, apabila dia meminta nasihat berilah nasihat kepadanya, apabila dia bersin lalu memuji Allah dengan "Alhamdulillah" maka doakanlah dia dengan "yarhamukallah", apabila dia sakit, ziarahilah, seterusnya apabila dia mati iringilah jenazahnya ke kubur." (riwayat Muslim)
hak terhadap muslim yang lain adalah kewajipan yang mesti dipelihara dan diamalkan oleh setiap muslim bagi menjaga keperibadiannya dan bagi melahirkan masyarakat Islam yang bersaudara.
firman Allah yang bermaksud:
"sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara"           (surah Al-Hujurat :10)
 seperti mana yang kita semua maklum, memberi salam adalah satu cara penghormatan yang diamalkan antara sesama Islam apabila bertemu. hukum memberi salam adalah sunat muakkad, sementara menjawabnya adalah wajib. firman Allah yang bermaksud: 
"apabila kamu diberi hormat (salam) maka balaslah hormat itu dengan cara yang lebih baik lagi atau menjawab sepertinya"       (surah An-Nisa':86)

apabila seseorang mukmin meminta nasihat atau pertolongan, maka perlulah diberikan bantuan mengikut kemampuan kita.dalam hal ini, perlu ingat bahawa kita tidak boleh mencampuri hal orang lain tanpa diminta. masing-masing hendaklah menjaga perhubungan dan persahabatan. firman Allah yang bermaksud:
"berilah nasihat dengan kebenaran dan kesabaran" (surah Al-Asr: 3)

apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka hendaklah kita iringi jenazahnya hingga ke kubur. sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: 
"hendaklah kamu menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah, itu akan mengingatkan kamu tentang akhirat" (riwayat ahmad)

setiap mukmin harus meneliti adab-adab yang dianjurkan oleh Islam kerana terdapat banyak hikmah hasil daripada mengamalkannya. Islam adalah agama yang syumul kerana memperincikan setiap perkara walaupun ia dianggap remeh oleh segelintir masyarakat.Wallahualam...