Saturday 16 July 2011

doa tidak diperkenankan

Assalamualaikum w.b.t

sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "sesungguhnya Allah itu baik.Ia tidak menerima melainkan yang baik. dan sesungguhnya Allah memerintah orang-orang mukmin dengan apa yang Ia perintahkan kepada sekalian Rasul. maka Allah berfirman: maksudnya: hai sekalian Rasul! makanlah dari yang baik-baik dan beramallah dari yang baik. dan ia berfirman, wahai sekalian orang yang beriman! makanlah dari segala yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepada kamu. kemudian ia menyebut seorang lelaki yang jauh perjalanan, yang kusut rambutnya lagi berdebu mukanya menghulurkan kedua tangan ke langit berdoa: wahai Tuhanku! wahai Tuhanku! padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram. dan mulutnya disuapkan dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan baginya?" (hadis riwayat muslim)

amalan seseorang yang beriman mempunyai hubungan yang rapat dengan makanan dan minumannya, iaitu makanan dan minumannya hendaklah dari yang halal. 

firman Allah di atas telah menjelaskan bahawa orang yang beriman memiliki jiwa dan hati yang bersih kerana digerakkan oleh darah bersih yang mengalir di dalam diri manusia yang beriman. darah yang bersih terhasil daripada makanan dan minuman yang bersih serta jauh daripada sumber-sumber yang haram, dihiasi pula badannya dengan pakaian yang bersih dan bukan dari milik yang haram.

ketika ibrahim bin adham (ahli tasauf yang masyhur) berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai dan di antara mereka ada yang bertanya: "mengapakah doa kami tidak dikabulkan Allah padahal kami selalu berdoa kepadaNya?" beliau menjawab: kerana hati kamu buta disebabkan 10 perkara, iaitu:
  • kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hakNya
  • kamu menyangka bahawa kamu cintakan Rasulullah SAW tetapi kamu tinggalkan sunnahnya
  • kamu telah membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya
  • kamu telah memakan nikmat Allah tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya
  • kamu telah berkata bahawa syaitan itu musuh kamu tapi kamu tidak menentangnya
  • kamu telah berkata bahawa syurga itu benar tapi kamu tidak beramal untuknya
  • kamu telah berkata bahawa neraka itu benar tapi kamu tidak lari daripadanya
  • kamu telah berkata bahawa mati itu benar tapi kamu tidak bersedia baginya
  • kamu bangun dari tidur lalu kamu menceritakan keaiban manusia tapi kamu lupa keaiban sendiri
  • kamu kebumikan mayat-mayat saudara kamu tapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya 
semoga sedikit perkongsian mampu membawa kita lebih dekat padaNya.wallahualam..