Friday, 23 September 2011

permulaan alam semesta

assalamualaikum w.b.t 

andai Philo Taylor Farnsworth terkenal kerana mencipta system televisyen elekronik sepenuhnya yang pertama, andai Orville Wright dan Wilbur Wright terkenal sebagai pencipta kapal terbang, mengapa ada yang tidak mengenali pencipta diri kita sendiri.dengan alam semesta yang begitu indah, sungai-sungai mengalir, gunung-gunung terpacak megah, pernahkah kita membisikkan pada hati betapa Maha Hebat Pencipta alam dan makhluk-makhluk dalam dunia ini. Melihatkan penciptaan bumi yang amat hebat penuh dengan keperluan manusia sesuai dengan kitaran hidupan, pernahkah kita memikirkan bagaimana bumi tercipta?

Stephen Hawking, seorang professor di university Cambridge merupakan salah seorang ahli kosmologi yang terkenal telah menulis beberapa buah buku mengenai kosmologi dan salah satu buku karya beliau yang cukup terkenal berjudul “A short History of Time from the Big Bang to the Black Hole”. Dalam buku tersebut, beliau mendakwa bahawa “penemuan bahawa alam ini mengembang merupakan kejayaan manusia paling bermakna pada abad ke-20 ini”.

Teleskop berkuasa tinggi seperti Hubbel dan Spritzaer juga telah dipasang pada kapal angkasa untuk mencerap bintang-bintang yang sangat jauh juga mencerap cahaya yang dikeluarkan oleh satu fenomena alam yang berlaku berbilion tahun lalu. Cahaya yang dicerap oleh teleskop sekarang juga sebenarnya adalah cahaya hasil fenomena yang telah berlaku berbilion tahun yang lalu.

Satu teori yang dikenali sebagai teori “big bang” telah diperkenalkan. Lebih kurang 15 bilion tahun yang lalu, satu letupan yang hebat telah berlaku dan para saintis tidak dapat mengenal pasti kejadian yang telah berlaku sebelum letupan tersebut. Kejadian ini sebenarnya bukan kejadian letupan yang biasa tetapi merupakan kejadian yang mengisi ruang-ruang jirim yang menjadi asas kepada pembentukan alam semesta.  Semenjak letupan tersebut, alam semesta ini terus mengembang dan menyebabkan jarak yang semakin jauh antara galaksi.

Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Anbiya ayat 30 yang bermaksud:
“Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah satu yang padu. Kemudian Kami pisahkan antara keduanya, dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka jua tidak beriman.”

Tafsir Ibn Kathir mengatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan langit dan bumi pada suatu masa yang lalu adalah suatu yang padu ialah pada mulanya kedua-duanya adalah satu unit berganding antara satu sama lain dan berlapis kemudian Allah memisahkannya dan menjadikan tujuh langit dan bumi.

Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 47 yang bermaksud:
“Dan langit itu Kami bangunkan dengan kekuasaan Kami dan Kami benar-benar mampu meluaskannya”.

Dalam surah Al-Anbia ayat 108, Allah berfirman yang bermaksud:

“iaitu pada hari Kami gulung langit sebagai menggulung lembaran-lembaran kertas. Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah satu janji yang pasti Kami tepati; sesungguhnya Kami lah yang akan melaksanakannya”.

wallahualam.sesungguhnya setiap yang ada pasti ada yang menciptakan.dan sesungguhnya Pencipta alam semesta ini Maha berkuasa dan Maha Hebat.