Saturday, 18 June 2011

subuh

pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lalu, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetap ku. "Assalamualaikum". seru Subuh. "waalaikumsalam." sahutku.

dan kami terus berpelukan, tanda rindu kasih sayang.ku tanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain."tadi..", kata Subuh sayu, "..aku baru sahaja melintasi satu tempat.ku cari tempat persinggahan, ku ketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi tiada satu pun yang mahu menerimaku sebagai tetamu". dan airmata Subuh pun berlinangan.

"Subuh, usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan?" subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringatkan sesuatu.

"oh ya.tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai.orang-orangnya sepertimu, menyambut dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. hidangan yang paling ku suka adalah buah tahajjud,puas ku cari dibumi lain, tapi jarang ku temui. Di situ aku meratah buah tahajjud dengan puas".

dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. aku fahami maksud Subuh.

"maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkan buah kegemaranmu. tapi aku ada roti Shiyam". cadangku pada Subuh.

Subuh menolak dengan hormat. "roti itu ada tuannya".kata Subuh.

"Adakah kau mahu manisan zikir?"rayuku pada Subuh.

"baiklah, ambilkan aku sedikit serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan".pinta Subuh.

aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang air mata tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan?. namun aku tetap menjenguk perigi yang memuatkan airmata itu. aku terkejut. perigi tersbut hampir penuh. dan aku berdetik di dalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? tanpa berlengah lagi, ku bawa air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjungi dan kusuakan manisan yang dipintanya.selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

"Subuh.."seruku. "....mahukah kau tinggal selamanya denganku? aku memerlukan teman dalam kesusahan. akan kulayan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh". Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi."aku perlu menziarahi ramai orang dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati mereka sepertimana aku menguliti mimpimu".

dan aku akur dengan penjelasan Subuh."Subuh.." seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi. "Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?" "InsyaAllah". jawab Subuh., "...bukankah aku kekasih yang kau rindui?" Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.

"Assalamualaikum".seru Subuh. "Waalaikumsalam" jawabku kembali.

dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah. dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.